Pengikut Terbaik!

07 Julai 2013

Kelopak Cinta Areesha


             Aku segera menutup komputer ribaku dan meletakkannya di dalam beg sandangku. Buku-buku yang diambil daripada rak buku juga segera disusun dan diletak di atas troli buku yang berdekatan dengan mejaku. Tanganku terasa mengecut dan lututku menggeletar pada skala tujuh daripada sepuluh. Kelopak mataku juga terasa tegang. Mungkin letih kerana didera oleh tuannya untuk menghadap komputer terlalu lama. Sebelas jam bertapa di dalam perpustakaan. Kesejukan. Inilah akibatnya sekiranya anda menyempurnakan tugasan ilmiah yang diberikan oleh pensyarah pada saat-saat akhir. Argh! Sebentar lagi aku perlu melalui bangunan Tadahan Selatan. Sekarang sudah pukul 8.05 malam. Sebentar! Ada apa dengan bangunan tersebut? Bangunan yang dikhabarkan berhantu dan sama ada mahasiswa apatah lagi mahasiswi sedaya-upaya mengelak daripada berada di bangunan tersebut pada waktu malam. Betulkah perkhabaran tersebut? Aku? Pernah jumpa? Belum lagi dan kalau boleh, aku tidak ingin sama sekali untuk bertembung dengan ‘mereka’. ‘Mereka’? Walaupun aku merupakan bakal guru Bahasa Melayu, tetapi aku belum menemui kata ganti nama yang sesuai untuk makhluk yang satu itu. Jadi, biarlah aku guna kata ganti nama ‘mereka’ buat masa ini sementara aku mencari masa yang sesuai untuk menanyakan soal itu kepada pensyarah Bahasa Melayuku. Aku segera melangkah keluar daripada perpustakaan. Baiklah Areesha! Walau apapun yang terjadi, jangan menoleh ke kanan mahupun ke kiri. Apatah lagi ke belakang. Jalan terus dan jangan belok-belok! Aku menarik nafas dalam-dalam dan mempercepatkan langkah kaki ketika melalui bangunan tersebut. Gelap! Oh Tuhan, selamatkanlah hambamu ini daripada segala ancaman bahaya terutamanya sesuatu yang boleh membuatkan hambamu ini terkena serangan jantung! Kakiku seakan tidak mencecah lantai kerana berjalan terlalu laju bagaikan lipas kudung. Lepas! Fuh! Aku memasuki bangunan E-Learning pula.

Tong!!!

 Aku segera menoleh ke arah datangnya bunyi tersebut! Mataku tertumpu kepada mesin ‘gedegang’. ‘Mesin gedegang’? Maaf, sampai sekarang aku masih tidak mengetahui nama mesin tersebut. ‘Mesin gedegang’ yang aku maksudkan ialah mesin yang mengeluarkan minuman tin apabila kita memasukkan duit ke dalamnya. Nama itu kuperoleh daripada sahabatku, Sheera. Oleh itu, nama itu melekat di bibirku sehingga sekarang. Kelihatan seseorang di tepi mesin tersebut, sedang membuka penutup tin minuman. Argh!!! Aku berharap dia sama spesis denganku. Maksud aku, manusia. Lelaki tersebut menoleh kearahku. Aku juga memandang tepat ke arahnya.

Hah?! Lututku yang tadinya sudah kembali normal kini menggeletar semula. Aku keliru dengan apa yang aku lihat.Tak mungkin! Aku memberanikan diriku melangkah dekat dengannya. Lelaki tersebut juga memandangku dengan wajah yang kelihatan kehairanan dan juga malu-malu. Aku tidak menghiraukan tanggapan yang mungkin dia lemparkan kepadaku. Aku hanya ingin mengamati wajahnya betul-betul. Mukaku terasa panas. Terasa darah menyerbu naik ke mukaku. Mataku terasa kabur. Berair.

“Awak...”, lelaki tersebut melambai-lambaikan tangannya di hadapan mukaku.

            Aku masih terus mengamati wajahnya. Namun, beberapa saat kemudian aku menundukkan mukaku. Tanpa sepatah kata, aku berlalu dari situ. Kakiku melangkah laju ke perhentian bas. Kali ini bukan kerana aku takut. Tapi kerana aku kebingungan. Bingung dengan sesuatu yang aku baru lihat. Tak mungkin itu dia. Dia dah pergi. Terasa dadaku seperti dicucuk dengan jarum yang  tajam. Sakit! Sedaya-upaya kutahan air mata daripada mencuri keluar daripada tubir mata. Aku tidak mahu dicop melakukan aksi drama swasta di situ.
Setelah sampai di rumah, aku duduk di atas katil sambil menghela nafas panjang. Sheera yang kelihatan sibuk menyiapkannya tugasan ilmiahnya, kupandang wajahnya beberapa ketika. Ingin sekali kuluahkan perasaanku yang kusut ketika itu padanya. Ingin saja aku melepaskan tangisan yang kutahan sejak tadi di bahunya. Namun, apabila kulihat dia terlalu khusyuk dengan kerjanya, kubatalkan hasratku. Aku kemudiannya mengeluarkan komputer ribaku daripada beg. Kutekan butang ‘on’. Masuk ke dalam galeri foto. Kulihat satu- persatu gambar seseorang mula kukenali lima tahun dahulu. Mengimbau semula kenangan bersamanya.
**********
Aku melangkah masuk ke dalam kelas. Tingkatan 6. Bukan pilihanku sebenarnya untuk meyambung pengajian di Tingkatan 6. Namun inilah satu-satunya laluan yang aku ada untuk melanjutkan lagi pengajianku ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) aku yang agak kurang baik. Sesungguhnya aku cemburu dengan rakan-rakanku yang lain. Melangkah masuk ke matrikulasi dan ada juga yang terus melanjutkan pengajian ke universiti. Bukan saja di universiti tempatan, malah ke universiti di luar negara. Hmm...semua ini salah aku sendiri. Tidak serius ketika belajar. Akhirnya, inilah yang aku dapat.

“Hai!” Tiba-tiba seseorang menyapaku.

Aku menoleh ke arah empunya suara. Lelaki. Ini mesti rakan sekelasku memandangkan dia berada di dalam kelasku. Dia tersenyum kepadaku. Aku membalas senyumannya.

Areesha!!! Seseorang memanggilku. Err, aku rasa bukan memanggil. Mungkin lebih tepat lagi, menjerit. Aku menoleh kebelakangku.

“Arhaam! Inilah bestfriend aku sejak Tadika lagi! Areesha.” Rina memperkenalkan aku kepada lelaki yang menyapaku tadi. Oh, aku dah tahu namanya. Arhaam. Rina ada menyebutnya sebentar tadi. Arhaam tersenyum.

“ Untunglah masih dengan bestfriend sampai sekarang. Kalau Areesha jadi bestfriend saya juga, boleh?” kata Arhaam sambil mengerling ke arahku. Masih tersenyum.

Aku ketawa kecil mendengar kata-katanya.

“Boleh saja, Arhaam.” Kataku sambil mengukirkan senyuman.

         Bermula daripada situ, aku sedikit demi sedikit mengubah persepsiku yang pada mulanya beranggapan bahawa memasuki Tingkatan 6 adalah sesuatu yang tidak tepat. Kini, aku rasa kemasukanku ke Tingkatan 6 bakal mencipta kenangan yang terindah dan sukar dilupakan. Ya! Aku mendapat ramai rakan baru. Azie, Narsha, Mira antara rakan baruku selain Rina yang bersamaku siang dan malam memandangkan kami sama-sama tinggal di asrama. Di sini, terdapat guru-guru yang sangat aku sanjungi. Menjadi idolaku. Membuatkan aku berani memasang impian yang sejak kecil lagi bercita-cita ingin menjadi pendidik seperti mereka. Ya! Aku harus menjadi seperti mereka! Cikgu Dayang Azizah, guru yang berjaya melahirkan keyakinanku untuk tampil di khalayak ramai. Bersuara dengan yakin di hadapan juri-juri pengucapan awam. Cikgu Ngu Leh Seng, guru yang sentiasa bersemangat ketika mengajar dan semangat itu menyerap dengan jayanya di dalam jiwaku serta rakan-rakan yang lain. Cikgu Huan Chan Ping, guru yang sentiasa menceritakan keseronokan menjadi pelajar di universiti, menunjukkan gambar-gambar beliau sepanjang perjalanan beliau menjadi pelajar universiti. Cerita-cerita dan gambar-gambar tersebut menjadi pembakar semangat aku dan rakan-rakan untuk belajar dalam usaha melangkahkan kaki ke menara gading sama seperti beliau. Cikgu Elekartini, keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap kemampuan kami menjadikan kami percaya dengan diri kami sendiri. Menjadikan kami gagah berdiri semula walaupun pernah jatuh sebelum ini.

            Namun, bukan mereka sahaja yang mengajar aku erti kehidupan. Ada seorang lagi yang memberikan impak besar dalam hidupku. Ya, sudah kuperkenalkan dirinya sejak awal tadi lagi. Arhaam. Dia bagiku, berbeza dengan lelaki-lelaki lain yang pernah kutemui dalam hidupku. Aku tidak sedar sejak bila aku mula menjadi terlalu rapat dengannya. Sejujurnya, apabila dia memandang tepat ke dalam anak mataku, aku mula jadi tidak keruan. Namun aku cuba untuk berkelakuan seperti biasa. Seperti tiada yang terkesan di hatiku. Aku kan ‘pelakon’ handalan. Hei, Areesha tidak semudah itu untuk jatuh cinta!

Guru-guru juga sering mengusik dan mengaitkan diriku dengan Arhaam. Begitu juga rakan-rakan. Aku rasa rimas. Aku katakan pada mereka bahawa itu semua tidak benar. Aku dan Arhaam tidak pernah ada hubungan yang lebih daripada seorang kawan.

           Suatu hari, aku tiba awal di kelas untuk menghadiri prep petang memandangkan kami diwajibkan untuk menghadiri prep petang dan tidak dibenarkan untuk berada di asrama. Sampai saja di kelas, aku dapati tiada seorang pun rakan sekelasku lagi di situ. Aku segera ke tempat dudukku lalu mengeluarkan buku rujukan ekonomi dan juga alat tulisku. Kemudian aku terdengar bunyi tapak kaki seseorang menuju ke arah kelasku. Aku menoleh ke arah pintu. Menanti kemunculan pemilik bunyi tapak kaki tersebut.
Arhaam! Dia masuk ke dalam kelas dengan senyuman yang lebar dan memandangku. Aku membalas senyumannya.

“Hei Ar, awal sampai.” Kataku sambil memandangnya yang sedang menuju ke arah tempat dudukku.

“ Ree lagi awal.” Balasnya kepadaku. Dia kemudian mengambil sebuah kerusi dan duduk di depanku. Kakinya dengan tidak sengaja tertendang kaki mejaku. Mejaku terangkat sedikit sehingga menyebabkan penselku bergolek ke hujung meja. Tanganku lantas cuba mencapai pensel tersebut agar tidak  terjatuh. Begitu juga Arhaam. Dia juga cuba mencapai pensel tersebut.

Ops!!! Tangan kami bersentuhan. Tanganku dengan tidak sengaja berada di atas tangannya. Kami terpana seketika. Aku mengangkat mukaku memandangnya. Aku tidak pula mengalihkan tanganku. Arhaam  juga memandangku. Jantungku berdegup kencang.

“Err..Ree..tangan…” Arhaam berkata perlahan. Aku tersentak. Baru tersedar yang aku sedang menggenggam tangannya. Terasa darah menyirap ke mukaku. Alamak! Macam mana aku boleh pegang tangan dia ni! Mak! Malunya!!

Aku segera mengalihkan tanganku daripada tangannya. Aku menundukkan mukaku sambil berpura-pura sibuk menekan butang kalkulator. Entah nombor apa yang aku tekan. Aku sendiri pun tak tahu.
Arhaam duduk di depanku.

“Alaa..sorrylah. Kalau Ar tahu yang Ree nak pegang tangan Ar lebih lama, takdalah Ar minta lepaskan. Nak pegang lagi ke?” Arhaam ketawa mengusikku sambil mengangkatkan tangannya di hadapan wajahku. Seolah-olah meminta aku untuk memegang tangannya semula.

Aku melihatnya sekilas. Darah merah menyerbu lagi ke mukaku. Aku menutup mukaku dengan tangan dan meletakkan kepalaku di atas meja. Malu!

“Ar, janganlah usik lagi!” Kataku sambil menggeleng-gelengkan kepalaku dan menjerit kecil.  Aku masih tidak mahu mengangkat mukaku.

Arhaam ketawa lagi.

Okay..okay.. Ar tak usik lagi.” Katanya. Dia ketawa melihat perlakuanku.

Aku lalu mengangkat perlahan mukaku. Kupandang wajahnya. Dia mengenyitkan matanya. Aku membulatkan mataku melihat perlakuannya. Ku capai penselku dan mengetuk kepalanya dengan pensel tersebut. Dia cuba mengelak namun tidak sempat. Dia terkaku dan memandang tepat ke arahku.  Aku juga terkaku seketika. Kami saling berpandangan. Beberapa saat kemudian, kami sama-sama tergelak.

Seminggu kemudian selepas peristiwa tersebut berlaku. Sekali lagi aku memalukan diriku di depan Arhaam. Kejadian ini berlaku selepas prep petang. Aku dan Arhaam merupakan orang terakhir yang meninggalkan kelas dan kami jalan beriringan menuruni tangga. Ketika menuruni tangga, aku tidak tahu di mana silapku apabila aku jatuh tergolek. Arhaam terkejut. Cuba mencapai tanganku namun tidak sempat.

Shrekkkkkkk! Bunyi koyak! Aku memandang seluar yang kupakai. Koyak! Alamak!! Malunya!!! Areesha! Mana harga diri kau ni?? Kenapa kau bodoh sangat ni! Budak sekolah rendah pun dah tak jatuh tangga, inikan pula kau yang dah tua dan besar jatuh tangga! Aku segera mengepit kakiku. Cuba menyembunyikan koyak tersebut. Arhaam juga segera mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“Ar….” Kupanggil Arhaam dengan nada rendah. Rasa hendak menangis. Arhaam menoleh ke arahku. Dia segera menolongku untuk bangun.

“Mari ke tandas perempuan.” Kata Arhaam sambil menarik tanganku menuju ke tandas. Aku hanya mengikut. Tiba di depan tandas, dia tiba-tiba melurutkan seluarnya. Aku terjerit kecil melihat perlakuannya. Dia ni dah gila ke? Apa dia nak buat kat aku ni?!! Ya Tuhan, tolong aku! Aku menutup mukaku dengan tapak tanganku dan memusing badanku membelakanginya.

“Ree..” Arhaam memanggilku dan menepuk bahuku. Jantungku berdenyut kencang! Aku menoleh ke arahnya perlahan-lahan.

Arhaam sedang memegang seluar panjang yang dipakainya tadi. Dia pula sedang berseluar pendek. Oh! Rupa-rupanya dia ada memakai seluar pendek. Aku sudah membayangkan yang bukan-bukan sebentar tadi. Ree..Ree..teruknya otak kau ni!

“Ree pakailah seluar Ar dulu. Ree masuk tandas, tukar seluar dulu okay.” Arhaam memberikan seluarnya padaku.

Aku terharu seketika. Oh! Dia sanggup berseluar pendek balik ke asrama dan memberikan seluar panjangnya untuk kupakai. Aku mencapai seluar tersebut daripada tangannya. Aku rasa bersalah kerana berburuk sangka kepadanya sebentar tadi.

Thanks so much, Ar..” Aku mengucapkan terima kasih. Air mataku bergenang. Tersentuh dengan tindakannya.

Aku segera masuk ke dalam tandas dan memakai seluarnya. Agak panjang dan longgar. Tapi ini sudah cukup baik bagiku. Aku kemudian keluar dari tandas. Arhaam masih menantiku. Dia tersenyum melihatku. Aku juga turut tersenyum. Tersenyum malu. Tidak lama kemudian, kami ketawa terbahak-bahak! Mengenang kejadian sebentar tadi. Oh!! Kenapalah sering berlaku perkara yang memalukan setiap kali aku bersamanya! Kenapa?!

“Kau ego! Di mata kau kulihat ada tarian cinta. Tapi mulut tu tak jujur langsung. Nanti kalau dia dah tak ada depan mata, baru padan dengan muka kau!”

Itu kata Narsha kepadaku. Aku hanya mendiamkan diri dan sengaja menyibukkan diriku mengemas almari pakaianku yang bersepah. Tiba-tiba mataku sempat melihat kelibat sesuatu yang hitam di dalam almariku. Pergerakannya pantas. Ada sesungut! Oh, aku tidak suka yang ini!

“Narsha!!! Tolong aku!!!” jeritku sambil melompat naik ke atas katil.

Narsha menoleh ke arahku sambil Ketawa terbahak-bahak. Mungkin dia sudah boleh menjangka pertolongan jenis apa yang aku maksudkan. Dia segera menuju ke arah almariku. Mencekup benda hitam tersebut.

“Kau buang benda tu jauh-jauh please!” kataku kepadanya dengan nada cemas. Peluh sudah keluar di dahi.

Narsha keluar daripada bilik. Membawa benda tersebut. Tidak lama kemudian dia masuk semula ke dalam bilik. Kulihat tangannya basah. Mestilah. Dia haruslah mencuci tangannya selepas memegang benda tersebut. Dia kemudian duduk di sebelahku. Ketawa lagi.

“Hei, apalah kau ni. Lipas pun nak takut! Lipas tu yang patutnya takut tengok kau. Menjerit macam mak lampir sakit tekak! Kalau aku dah tak ada dengan kau, kau nak minta tolong dengan siapa lagi? Ree..Ree..” Kata Narsha sambil menekan-nekan perutnya. Ketawa lagi.

“ Aku…tak takut. Cuma tak suka okay.” Dalihku.

“Hei, yalah tu. Macamlah aku tak tau kau tu. Okay,okay, berbalik kepada topik tadi. Kau betul tiada perasaan pada Arhaam ke?” Narsha memusingkan badannya menghadap aku. Membulatkan lagi matanya yang sememangnya sudah bulat itu.

Aku menundukkan mukaku seketika. Kemudian aku memandang ke arahnya.

“ Aku, aku tak pasti dengan perasaan aku sendirilah Narsha. Aku tak nak dengar sangat kata hati aku ni. Aku pernah terluka. Aku tak nak terluka lagi. Lagipun kita ni kan masih sekolah lagi. STPM tahun ni tau.” Kataku padanya.

“Ree…kau dah cukup besar untuk seimbangkan soal hati dengan pelajaran. Eh, umur kau ni, mak kau dah ada dua orang anak  tau, dan yang ketiga pun on the way dah. Maksudnya, kita bukannya budak-budak lagi tau. Lagipun aku tengok Arhaam tu baik orangnya. He’s different from others! Susah nak jumpa lelaki macam tu tau. Limited edition! Aku tengok dia tu macam ada hati dengan kau je. Aku rasa kawan-kawan yang lain pun tahu yang dia suka kau.” Narsha berkata panjang lebar. Bersungguh-sungguh pula dia ni. Nasib baik dia tidak tahu akan kejadian-kejadian memalukan antara aku dengan Arhaam. Kalau tak, lagilah bergunung pujiannya terhadap Arhaam.

“Narsha, boleh tak kita jangan cakap pasal ni lagi? Aku bosanlah.” Kataku. Mendengus.

“Yalah. Fullstop. Aku nak mandi dulu. Nanti makan sama-sama tau.” Narsha menepuk pahaku sambil bingkas bangun. Mengambil tualanya yang disangkut di hujung katil. Keluar daripada bilik.

*********
Masa berlalu dengan pantas. Tinggal seminggu saja lagi untuk peperiksaan STPM. Aku sememangnya memberikan sepenuh perhatianku kali ini. Aku tak ingin pisang berbuah dua kali. Aku tak ingin lagi menangis tujuh hari tujuh malam gara-gara keputusan peperiksaan yang teruk seperti mana yang berlaku ketika aku menerima keputusan SPM dulu.

Ring!Ring! Telefonku berbunyi. Baiklah! Aku mengaku. Inilah kelemahanku. Masih tidak dapat berenggang dengan telefon bimbit. Menyeludup telefon bimbit masuk ke dalam sekolah. Bagaimana caranya? Aku rasa semua pelajar asrama tahu caranya.

Aku melihat nama yang tertera di skrin telefonku. Arhaam! Alamak!! Macam mana ni? Dia nak apa ni? Rina, Narsha, Azie, dan Mira memandang kearahku. Aku menunjukkan nama yang tertera di skrin telefonku kepada mereka. Apabila melihat nama tersebut, semua melompat mendekatiku. Ku tekan butang hijau dan loudspeaker.

“Hai, Ar.”

“Ree…tengah study ?

“Ya. Ada apa ya Ar?”

“Err..tiada apa-apa.”

“Habis, kenapa call?”

“Err…actually, nak cakap something.

Jantungku berdenyut dengan kencang mendengar kata-kata tersebut. Mungkin denyutan ini kukira sudah melebihi 100km/j. Narsha, Azie, Rina dan Mira juga membulatkan mata apabila mereka mendengar kata-kata Arhaam. Semua menutup mulut masing-masing. Menahan gelak yang rasanya bakal meletus bila-bila masa sahaja umpama letusan gunung berapi.

            Hampir sejam panggilan dibuat oleh Arhaam. Namun dia masih belum berterus-terang akan tujuannya membuat panggilan tersebut. Aku menjadi bosan untuk menunggu.

“Arhaam, kalau tiada apa-apa, saya nak sambung belajar dulu.”

“Ree…err…nanti saya mesej ya.” Panggilan ditutup. Kemudian aku mendengar letusan ketawa rakan-rakanku yang sejak tadi berusaha menahannya.

“Aku berani jamin! Dia nak luahkan perasaan kat kau! So sweet!” Kata Rina. Matanya berair kerana ketawa sebentar tadi. Rakan-rakan yang lain mengangguk. Tanda bersetuju dengan kata-kata Rina.
Beep! Bunyi menandakan ada mesej di telefonku. Aku segera membukanya.

Saya sukakan awak Ree. Saya tak tahu bila perasaan ini timbul. Tapi yang saya tahu, saya nak jadikan awak milik saya seumur hidup. Saya tak tahu jika awak rasa saya cukup baik di mata awak. Tapi yang saya tahu, awak cukup sempurna di mata saya. Saya tak tahu jika saya boleh menggembirakan hati awak. Tapi yang saya tahu, awak mampu membuatkan hari-hari saya seperti pelangi.”

“Fuyohh, macam drama Korea pula!!!” Azie yang turut membaca isi kandungan mesej tersebut bersuara sambil bertepuk tangan. Aku menjelingnya. Dia ketawa.

Aku membalas mesej tersebut.

“Saya bukan tak nak terima awak, Ar. Tapi buat masa ini biarlah kita tumpukan perhatian terhadap STPM dulu. Maafkan saya.”

Mesejku tidak berbalas selepas itu. Keesokannya, di dalam kelas, ketika bertembung dengannya, Arhaam lantas mengelak daripadaku. Apabila ku bertanyakan perkara itu daripada Hariz, teman rapat Arhaam, Hariz mengatakan bahawa Arhaam mendapat tahu bahawa perbualan kami semalam didengar oleh rakan-rakanku dan dia marahkan aku kerana tindakan aku itu. Timbul rasa bersalah dalam diriku. Tak sepatutnya aku berbuat sedemikian. Membiarkan perbualan kami didengar oleh rakan-rakan yang lain sedangkan ia merupakan perbualan peribadi. Apatah lagi apabila ia melibatkan soal perasaan. Ingin rasanya aku meminta maaf. Tapi ego masih menebal dalam diri.

Sehinggalah STPM melabuhkan tirainya, aku dan Arhaam masih langsung tidak bertegur sapa. Sehinggalah seminggu sebelum keputusan permohonan memasuki universiti diumumkan, Arhaam telah menghubungiku. Lalu hubungan kami kembali jernih seperti biasa. Namun, rupa-rupanya dia masih belum berputus-asa tentang soal hatinya terhadapku.

“Andai kita ditakdirkan memasuki universiti yang sama, sememangnya ada jodoh antara kita. Pada masa itu, janganlah menolakku lagi seperti dulu. Tapi, andainya kita ditakdirkan berada di universiti yang berlainan, aku juga tetap tidak akan berputus-asa tentang perasaanku terhadapmu,” Luah Arhaam kepadaku. Kata-kata itu membuatkan aku berdebar-debar.

Tiba hari yang dinantikan. Ketentuan Tuhan, kedua-dua kami berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti namun kami ditempatkan di universiti yang berbeza. Aku teringat kata-kata Arhaam ketika itu. Aku dapat merasakan, ini memang satu petanda, bahawa antara kami, tidak akan pernah terjadi apa-apa. Namun, kami tetap sering berhubungan walaupun memasuki universiti yang berbeza. Selalunya dialah yang menghubungiku terlebih dahulu. Aku tahu, egoku tidak pernah berpenghujung. Sering membiarkan dia yang memulakan bicara terlebih dahulu. Namun, segalanya berubah saat dia mengadu padaku bahawa dia mengalami sakit-sakit di kakinya. Kerisauan mulai timbul dalam diriku. Aku mula belajar untuk menghubunginya terlebih dahulu. Aku belajar untuk bersuara sedikit lembut dan tidak kasar seperti sebelumnya. Aku belajar untuk mengambil tahu aktiviti-aktiviti hariannya. Aku juga belajar untuk mengetahui perkara yang disukai dan tidak disukainya. Betul kata orang, bila kita mula sukakan seseorang, segala yang kita lakukan, mesti berkaitan dengan orang yang kita sayang.

Kesihatannya semakin merosot hari demi hari. Doktor masih belum mengenal pasti punca sakit di kakinya. Dia mengadu padaku, katanya seperti ada ketulan besar di kakinya. Aku terpana mendengarnya. Aku hanya mampu merintih dalam hati. Oh Tuhan, ujian apakah yang kau datangkan kepada insan kesayanganku ini dan jika ujian ini adalah kerana kasihmu padanya, kau kuatkanlah hatinya untuk menempuhi ujian ini. Pada masa yang sama, aku tidak henti-henti menasihatinya agar menguatkan semangat menempuhi dugaan ini dan semuanya akan baik-baik sahaja. Namun, ujian yang datang tidak pernah berhenti. Kali ini, tangannya pula yang sakit. Nak pegang sebuah buku pun sudah tidak larat. Sehinggalah pada suatu hari, seorang lagi rakan kami, Reza, menghubungiku.

“Ree…aku harap kau kuatkan semangat untuk mendengar perkara yang aku nak cakap ni.” Kata Reza. Kata-kata itu membuatkan jantungku berdenyut kencang. Perasaanku menjadi tidak tentu arah.

“Apa dia Reza?” Tanyaku.

“Arhaam..”

Aku tersentak apabila mendengar nama itu disebut.

“Kenapa dengan Arhaam?”

“Dia…dia…disahkan menghidap leukemia dan leukimianya sudah di tahap terakhir.”

Aku terasa pitam seketika mendengar kata-kata Reza.

“Ree..kau tak apa-apa??? Aku harap kau kuatkan semangat okay. Tolong jangan nangis masa kau call dia. Bagi dia semangat untuk kuatkan semangat dan tabah mengharungi semua ini. Please! Dia perlukan semangat dan kekuatan daripada kita sekarang ni. ” Terdengar suara Reza sedikit serak. Seperti menangis.

Aku menangis teresak-esak. Reza terdiam bila mendengar aku menangis. Kemudian, terdengar keluhan panjangnya.

“Baiklah Reza. Aku cuba untuk tidak menangis ketika bercakap dengannya.” Kataku dalam tangisan.

Betapa luluhnya hati aku ketika itu. Hancur. Hancur rasa hati ini menerima kenyataan itu. Malamnya, aku menghubunginya. Dia ditahan di wad. Malam itu, sedaya-upaya kulembutkan suaraku untuk menjaga hatinya. Sebak yang semakin menghimpit di dada, sedaya-upaya aku tahan. Aku tidak ingin dia tahu akan rintihan hatiku. Namun, air mata ini tidak mampu menutup perasaan sebenar dalam hati. Betapa luluh hati ini mendengar luahan hatinya. Perbualan kami beberapa kali terganggu dan terhenti kerana jururuwat datang memeriksanya selang beberapa minit. Dia memulakan bicara.

“Ree nak tahu…”

“ Tahu apa Ar?”

“Ar sedang menghitung hari ni…” Suaranya kedengaran serak di situ.

“ Aish! Hari apa pula ni? Janganlah macam tu. Everything will be fine okay.”Kataku dengan nada memujuk.

“Ar sedang menghitung hari untuk melihat rambut Ar gugur. Kan Ar menjalani kemoterapi.”
Aku mendengar lagi keluhannya.

“Tak apalah tu. Rambut boleh tumbuh semula. Yang penting Arhaam sihat.” Aku berusaha untuk menguatkan semangatnya.

Dia berkata lagi.

“Ree nak tahu..”

“ Tahu apa?”

“Mesti Ar makin kurus lepas ni kan? Ree pun mesti malu nak dekat dengan Ar kan. Sudahlah sebelum ni memang dah kurang handsome, lepas ni lagilah tak handsome langsung.”

Aku terkelu.

Dan dia terus berkata lagi.

“Ree nak tahu…”

“ Apa?” Aku sedaya-upaya menahan tangisanku agar tak didengarinya.

“Gusi Ar berdarah. Sakit. Tolong Ar…Ree.” Rintihnya.

“ Arhaam. Be strong okay! Everything will really be fine! Kuatkan semangat. Kami semua support Arhaam!”

“ Eh, ayah Ree tahu pasal Ar sakit?” Tanya Arhaam.

“Ya, dia tahu.” Aku menahan sebak.

“ Ah! Malunya!”

“Kenapa malu? Ayah risaukan Ar lah.”

“Hmm.” Terdengar keluhan panjang di corong telefon.

Disebabkan jururawat sibuk berulang alik memeriksanya, kami menghentikan perbualan. Sakitnya dalam dada ini menahan hiba, usah disebut. Sedaya-upaya aku tidak menunjukkan kesedihanku ketika berbual dengannya. Aku merintih dalam hati. Oh.! Kenapa perlu dia yang menghadapi semua ini?

 Setelah selesai menelefonnya. Aku bertanyakan pendapat rakanku tentang perasaanku. Rakanku memberikan nasihat agar kuluahkan saja perasaan hatiku sebelum terlambat. Dan aku menerima nasihat itu. Aku bercadang untuk meluahkan rasa hatiku padanya, pada malam yang berikutnya memandang ketika itu sudah lewat malam dan aku tidak ingin mengganggunya berehat.

Petang esok, setelah selesai menghadiri kuliah, aku menghantar mesej bertanya khabar kepadanya. Namun tidak dibalas. Aku mula rasa tidak sedap hati. Dan  pada petang itu, bagaikan halilintar membelah dadaku apabila aku mendapat berita bahawa dia telah dimasukkan ke wad kecemasan. Air mata sudah tidak ego lagi untuk menampilkan diri menjadi penemanku setiap saat. Aku terus-terusan menerima khabar yang menyatakan bahawa dia semakin tenat. Ya Tuhan! Kuatkanlah hati hambamu mengharungi dugaan ini. Akhirnya, Reza menelefonku lagi.

“Ree, aku harap kau tabah.” Reza menangis.

“Kenapa Reza?” Suaraku sudah hampir tidak terkeluar daripada kerongkongku. Oh Tuhan! Aku tidak mahu mendengar apa yang bakal dikhabarkan oleh Reza.

“Dia dah tiada…” Reza menangis.

Telefon terlepas daripada tanganku. Dunia terasa kelam. Dia pergi menghadap Illahi tepat pada pukul 10.30 malam, 31 Ogos 2010. Hari dimana seluruh rakyat Malaysia sedang bersuka-ria menyambut ulang tahun kemerdekaan tetapi aku sedang meratapi kehilangan insan yang aku sayang. Aku menjadi lesu dan tidak bermaya untuk hari-hari seterusnya. Hanya wajahnya,dan kata-kata terakhirnya padaku yang bermain di ingatanku setiap saat. Aku teringat kata-kata Farah kepadaku semalam.

“Farah rasa, lebih baik Ree berterus-terang dengannya tentang apa yang Ree rasa selama ini. Sekurang-kurangnya dia tahu perasaan sebenar Ree terhadapnya. Mungkin saja dengan itu, dia mampu menguatkan semangatnya agar berjuang untuk terus hidup. Jangan pertikaikan apa yang cinta mampu lakukan. Cepat luahkannya Ree. Sebelum terlambat! Sebab bila terlambat, selama-lamanya Ree akan menyesal, dan penyesalan itu tidak akan pernah padam Ree. Sampai bila-bila.”

 Ya! Betul kata Farah. Aku telah terlambat untuk mengakui perasaan cintaku kepadanya kerana belum sempat aku menyatakan cintaku, dia telah pergi terlebih dahulu menyambut cinta daripada Illahi. Aku belum sempat meminta maaf daripadanya atas kesalahan yang aku lakukan kepadanya. Aku tidak sempat menyatakan cintaku padanya. Selama-lamanya perasaan itu terkubur tanpa diketahuinya kerana dia telah pergi disaat aku baru mendapat kekuatan untuk meluahkan segala-galanya.
**********
“Ree! Tak nak mandi ke?”

Aku tersentak daripada lamunanku. Kulihat Sheera sudah duduk di tepiku sambil tersenyum. Dia memandang wajahku dan kemudian skrin komputer ribaku. Aku tersenyum  padanya.

“ Baiklah, saya nak mandilah ni Sheera.” Kataku sambil tersenyum. Ku pegang bahunya.

“Ree, life must go on! Fine someone else. There will be someone special for you. Someone that really just for you! Semua ini rencana daripada Tuhan. Kita sebagai hambanya tidak mampu berbuat apa-apa selain terus berdoa agar segala yang kita lakukan diredhai-Nya. Doakan kesejahteraannya di alam yang satu lagi.” Shera berkata panjang lebar.

Kuakui kebenaran kata-katanya. Sampai bila aku terus begini. Sudah tiga tahun dia pergi. Aku harus terus melangkah ke hadapan. Tiba-tiba aku teringat semula jejaka yang aku temui di kampus tadi. Jejaka dengan air ‘gedegang’nya. Aku tersenyum. Akan kucari identiti jejaka tersebut. Mungkin ada makna di sebalik pertemuan sebentar tadi. Melangkah ke hadapan tidak bermakna aku harus membuang kenanganku di hari-hari yang lalu. Awak, saya datang!

* Cerpen ini telah disiarkan dalam laman web penulisan2u pada Julai 2013. Boleh lihat di Kelopak Cinta Areesha . ^_^

Tiada ulasan: