Pengikut Terbaik!

12 Mac 2014

Nukilan Buat Warga MH370

ANGIN, SAMPAIKAN PESAN

Ayah,
Dirimu hilang bersama bintang di balik kegelapan
Jangan ditunggu pelangi terbentang baru pulang
Tanpamu siang dan malam terasa panjang.

Ayah,
Ku benar berharap semua ini hanya mimpi
Agar bilaku terjaga nanti kau ada disisi.

Atau
mungkin dirimu yang terlelap dalam mimpi yang panjang
Hingga kau tak tahu peritnya penantian di sini

Ayah,
Jangan biar aku membenci pada langit
Jangan biar aku berdendam pada awan
Jangan biar aku marah pada lautan
Jangan biar aku membentak pada gunung

Ayah,
Kuharap angin sampaikan pesan ini padamu
Ku takkan ucap selamat jalan

Kerna ku yakin kau akan pulang.

Dedaun Yang Lerai (Puisi Kelukaan)

Dedaun cinta di pepohon hati
Hijau bukan lagi warnanya
Selam kelam di hati yang merintih hampir mati
Sedang dulu dedaun cinta itu hinggap rerama rindu
Kini mentari harapan juga tidak berani menggapai mimpi
Mungkin ranting niat sudah patah rebah dan rapuh
Saat angin amarah mendengus membungkus kabus keliru
Dan akar janji sudah terbalut dengan dusta tipu
Bila pucuk rasa sudah kering dan terbakar
Walau direndam cuba padam segala dendam
Bunga kasih tidak sempat kembang dan mekar

Dedaun gugur, berderai dan lerai bersama badai lewat senja.

Cristine Teo
8 Mac 2014

20 Januari 2014

Limpas dan Lipas

Salam Sejahtera,

Limpas? Lipas? Limpas itu lipas?
Bagi masyarakat yang berada di semenanjung Malaysia, sudah tentu perkataan ‘limpas’ ini tidak pernah didengari oleh mereka. Sebelum saya menjelaskan maksud sebenar perkataan ‘limpas’ ini, saya ingin berkongsi sebuah kisah lucu yang berlaku di hadapan saya sewaktu saya berada di semester tiga.
Pada waktu tersebut, saya baru saja pulang ke kolej kediaman setelah seharian berada di kampus. Ketika saya menuruni bas setelah sampai di kolej kediaman, keadaan di stesen bas sangat sesak dengan mahasiswa dan mahasiswi yang ingin ke kampus dan juga yang baru saja pulang dari kampus.
Tiba-tiba, seorang mahasiswi yang berada di hadapan saya bersuara…
“Limpas….limpas…”
Stesen bas yang penuh sesak dengan mahasiswi yang menjadi golongan majoriti di kolej kediaman tiba-tiba menjadi senyap. Mahasiswi yang ada di situ saling berpandangan antara satu sama lain dan serentak pandangan mereka meliar ke lantai…
“Argghhhh…mana?mana?mana lipas???”
Mahasiswi lari bertempiaran.
Saya tercengang seketika. Bermonolog dalaman. Mengapa mereka lari bertempiaran. Setelah beberapa saat, saya mula memahami perkara yang telah berlaku. Saya mula ketawa berdekah-dekah.
Rupa-rupanya para mahasiswi tersebut menyangkakan bahawa ada lipas di situ memandangkan mahasiswi yang tadinya ada menyebut perkataan ‘limpas’.
Buat pengetahuan semua, ‘LIMPAS’ itu bukan ‘LIPAS’.
LIMPAS itu merupakan salah satu perkataan dalam dialek yang digunakan oleh masyarakat sabah yang bermaksud ‘lintas’ atau ‘lalu’.
Mahasiswi yang menyebut perkataan LIMPAS itu tadi sebenarnya berasal dari Sabah. Dia menggunakan perkataan tersebut kerana mungkin beranggapan semua orang tahu akan makna perkataan tersebut. Mahasisiwi tersebut sebenarnya hanya meminta izin agar diberikan sedikit ruang untuk dia lalu di dalam kesesakan pelajar yang berada di stesen bas tersebut tetapi telah disalah-anggap oleh para mahasiswi yang berada di sekelilingnya yang beranggapan dia memberitahu adanya lipas di situ. Disini saya berikan beberapa contoh penggunaan LIMPAS dalam dialek masyarakat Sabah:
Dialek sabah: Aku nampak dia limpas tadi.
Bahasa Melayu: Saya nampak dia lalu tadi.

Bagaimana pula kalau ayat ini:

Dialek sabah: Aku nampak lipas limpas bawah kakimu tadi.
Bahasa Melayu : Saya nampak lipas lalu di bawah kaki awak tadi.

Sekarang, rakan-rakan sudah mengetahui maksud perkataan LIMPAS kan?
Jumpa lagi pada entri akan datang.

Sekian,
Cristine Teo