Pengikut Terbaik!

22 November 2012

Antara Aku dan Mereka (Puisi Buat Rohingya)


Aku berjalan memakai kasut merah,
Sedang mereka berjalan dengan kaki penuh berdarah,
Aku mengeluh apabila tiada teman di sisi,
Sedang mereka menangis, merintih, keluarga mereka pergi tak kembali.

Aku memberontak bila keinginanku tak dituruti,
Sedang mereka tidak mampu berkata-kata,
Apabila keluarga dibakar, diseksa di depan mata,
Hanya linangan air mata menjadi tanda betapa hati terseksa,
Walaupun kadangkala air mata sudah tidak mampu mengalir lagi,
Hanya doa pengubat duka bagi mereka.

Aku mengejar cinta manusia di dunia yang penuh pura-pura,
Sedang cinta yang mereka dambakan hanyalah cinta abadi kepada Tuhan yang Maha Esa,
Haruskah aku terus mengeluh dengan apa yang aku ada?
Sedang mereka tetap bersyukur nadi mereka terus berdenyut walau untuk beberapa ketika,
Hinanya diriku berdoa bila hanya teringat pada-Nya,
Sedang doa mereka hanya terputus bila nafas terhenti buat selamanya.

Kini aku telah mengerti,
Beza harapan aku dengan harapan mereka,
Beza rintihan aku dengan rintihan mereka,
Beza tangisan aku dengan tangisan mereka,
Beza doa aku dan doa mereka.

Perbezaan segalanya tentang aku dengan mereka.

Cristine Teo
UPSI
Tg.Malim










Puisi ini merupakan tugasan ilmiahku. Tema adalah tentang penderitaan Masyarakat Islam Rohingya yang ditindas di tanah mereka sendiri..Puisi ini 50% terhasil sewaktu aku dalam perjalanan pulang daripada rumah keluarga angkatku di Jasin, Melaka bersama rakanku, Nur Atikah..aku menulis bait-bait ini di dalam kereta api yang bergerak laju menuju ke Tg.Malim...ketika sedang tunduk menghadap lantai..ku terpandang kasutku yang berwarna merah..ku mulai terfikir...perbezaan situasi aku dan 'mereka'.. lalu lahirlah rangkap pertama yang juga berkait tentang kasut merah..dan seterusnya...lahirlah rangkap-rangkap berikutnya...

21 November 2012

Kuliah Pembangunan Blog dan Laman Web

Salam,

Catatan ini terhasil ketika aku sedang menjalani kuliah bagi Kursus Pembangunan Blog dan Laman Web. Pensyarahku meminta kami menghasilkan sebuah blog untuk tugasan kursus kami ini. Memandangkan aku sudah mempunyai blog, aku hanya menggunakan blog aku ini sahaja tetapi tetap akan melakukan beberapa pembaharuan memandangkan tidak adil untuk rakan-rakan lain yang belum mempunyai blog. Baiklah, catatan ini harus di'publish' sekarang seperti yang diarahkan oleh Puan Harnani kami ini.. ^_^

Sekian,
Cristine Teo

05 Ogos 2012

Biarkan Aku Sendiri


Pertemuan denganmu,
Tiada kusangka lahirnya  perasaan  indah,
Seringkali kutolak ke tepi,
Segala perasaan yang tidak menentu,
Setiap kali hati ini mengesan kehadiranmu..

Ku mungkin biasa bersendirian,
Namun semenjak ku tahu kewujudanmu,
Ku seperti tidak ingin sendirian lagi,
Mungkinkah ku tahu puncanya…

Namun,
Sekuat mana hati ini menginginkanmu,
Tidak mungkin kau akan menjadi milikku,
Kerana tembok antara kita,
Terlalu utuh dan tak mungkin runtuh..

Dan sederas manapun tangisan ini hanya keranamu,
Kau tidak akan mampu menghentikannya..
Kerana kau tidak pernah tahu..
Selamanya kau tidak akan tahu…
Adanya rasa ini untuk dirimu..
Untuk dirimu..
Hanya dirimu..